fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat didenda RM13,500 miliki jam azan tanpa perakuan KDN

Mohamad Basri Ibrahim (kiri) dikenakan denda sebanyak RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di Selayang hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mei - Seorang pengarah syarikat jam Islamik hari ini didenda RM13,500 oleh Mahkamah Majistret di Selayang selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki 703 jam azan bernilai RM222,000 tanpa perakuan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN), tahun lepas.

Pada prosiding di hadapan Majistret Chai Guan Hock, Mohamad Basri Ibrahim, 34, dikenakan denda sebanyak RM6,500 manakala Majistret Nur Hafizah Rajuni mengenakan hukuman denda RM7,000.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda RM6,500 itu dan penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda RM7,000.

Tertuduh membayar kesemua denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Basri didakwa memiliki 219 jam azan Mecca Edition, 271 jam azan Medina Edition dan 213 jam azan Aqsa Edition yang tiada perakuan kelulusan oleh LPPPQ KDN.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Samudera, Batu Caves, di sini pada 12.30 tengah hari, 27 Nov 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa KDN Nik Azwin Nik Nazmi dan Surieyani A Razak memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh serta pemain industri pencetakan agar lebih bertanggungjawab ke atas kesucian agama dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Mohamad Basri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga selain pendapatannya terjejas selepas barangan tersebut disita. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN