fb fb fb fb fb

Penganggur ditahan polis, pukul isteri gara-gara tidak bantu buat kerja rumah

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Seorang wanita cedera dibelasah suaminya dalam satu kejadian di kediamanan mereka di Pandan Perdana, Isnin lalu, gara-gara tidak membantu kerja rumah.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman kira-kira pukul 9.30 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika pertengkaran tersebut, suspek yang tidak bekerja telah bertindak merosakkan komputer riba milik isterinya dan memukul pengadu sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian tangan kanan.

“Siasatan lanjut polis mendapati punca utama yang menyebabkan suspek mencederakan mangsa adalah kerana pengadu tidak membantunya membuat kerja rumah,” katanya.

Menurut Mohd Azam, bertindak atas laporan itu, pada kira-kira jam 6.20 petang semalam sepasukan polis dari BSJD Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 36 tahun di Pandan Perdana.

Katanya, hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah serta tiada rekod lampau.

Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 2 Februari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga merujuk kepada kesalahan boleh tangkap.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE