DUNGUN, 26 Mei - Polis menahan seorang pemuda atas kesalahan memilIki pelbagai senjata tiruan di Kampung Balai Besar, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendent Maizura Abdul Kadir berkata serbuan yang dilakukan di kediaman suspek berusia 27 tahun itu menemui 10 laras senapang, 10 batang anak panah, lima unit busur, tiga pucuk pistol tiruan dan 20 butir peluru tiruan.
Suspek dipercayai menyediakan perkhidmatan memanah di kawasan kediamannya itu sejak empat tahun lalu.
Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku kesemua senjata itu dibeli melalui perkhidmatan secara dalam talian dengan harga kira-kira RM10,000.
"Kita tengok kepada aktiviti yang dilakukan, rampasan dan tangkapan ke atas suspek itu tiada kena mengena dengan sebarang pertubuhan atau militan, ia lebih kepada aktiviti untuk riadah, tetapi suspek tidak memohon, tidak ada permit, tidak ada kelulusan untuk menjalankan aktiviti begini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, di sini.
Maizura berkata, suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.