JOHOR BAHRU, 16 Disember-Seorang pembantu stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki empat tahun, dua bulan lalu.
Tertuduh, Muaz Saifullah, 23 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Tertuduh turut dilihat menitiskan air mata dan mengesat air matanya berkali-kali selepas pertuduhan pertama dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual, terhadap kanak-kanak tersebut.
Perbuatan tersebut dilakukan di dalam bilik tidur sebuah rumah dekat Blok L, Jalan Sri Stulang Satu, Johor Bahru, antara pukul 7.30 pagi hingga pukul 6.30 petang, 30 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.
Mangsa merupakan anak asuhan kepada ibu tertuduh dan mereka tinggal di blok yang sama di kawasan perumahan tersebut.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan, beserta syarat tambahan, tidak dibenarkan mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes disebut semula, 28 Januari depan.