fb fb fb fb fb

Pemandu lori mengaku tidak bersalah rogol anak tiri

 BUTTERWORTH, 20 Oktober- Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini, atas dua tuduhan merogol anak tirinya.

Tertuduh berusia 29 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 10 tahun, yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama atau adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman dekat Kampung Bagan Buaya, Changkat, Nibong Tebal pukul 11 malam pada Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 11 tahun di lokasi sama pukul 9 pagi pada 2019.

Perbuatan itu didakwa dilakukan bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun, dan juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan 21 November depan sebagai sebutan semula kes.

Hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi kes selain perlu tinggal berasingan daripada mangsa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.

(Tertuduh diiringi polis ketika tiba di mahkamah)

Media Baharu