fb fb fb fb fb

Pemandu bas ekspres ditahan, positif dadah di terminal bas MBKT

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Seorang pemandu bas ekspres ditahan dipercayai positif dadah jenis Methapetamine atau pil kuda dalam operasi penguatkuasaan sempena Aidilfitri di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Kuala Terengganu, pagi semalam.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas gagal saringan air kencing kira-kira pukul 9.45 pagi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ Terengganu Zamri Samion berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas utama yang berasal dari Kuala Terengganu itu sepatutnya membawa bas ekspres ke Pasir Gudang, Johor.

"Dan bas itu kita telah pastikan ditukar pemandu pertamanya dan syarikat bas itu pihak kita lakukan pemeriksaan dan kita melakukan lebih intensiflah sebab kita sangat percaya isu penggunaan dadah sangat merisikokan penumpang," kata Zamri ketika ditemui pemberita pada Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Ops HRA 2025, di Kuala Terengganu, malam tadi.

Sebanyak 940 saman telah dikeluarkan sepanjang Ops Hari Raya (HRA) 2025 bermula 24 Mac hingga semalam hasil pemeriksaan ke atas 5,544 kenderaan termasuk motosikal, kereta dan lori.

Dalam operasi itu pihaknya juga telah mengeluarkan 603 lain-lain notis dengan lapan kenderaan disita. 20 kawasan 'Black Spot' berlaku kemalangan juga dikenal pasti di seluruh Terengganu.

Ia termasuk dua lokasi di Kuala Terengganu, Marang empat lokasi, Dungun tiga lokasi Kemaman dua lokasi, Hulu Terengganu empat lokasi, Setiu tiga lokasi dan Besut dua lokasi.

Lebih 180 pegawai dan anggota akan bertugas sepanjang Ops HRA 2025. Fokus utama di pintu masuk sempadan Besut-Kelantan dan Kemaman-Kuantan serta Jalan Persekutuan seluruh Terengganu.

TETITIA YUSOFF