KUALA LUMPUR, 24 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian mendatangkan kecederaan melibatkan pegawai dan anggotanya semasa proses tangkapan, yang tular menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) baru-baru ini.
Laporan polis mengenai insiden tersebut dibuat pada 18 November lepas oleh seorang wanita warga tempatan yang mendakwa anak lelakinya dipukul semasa ditahan oleh pihak berkuasa.
Menurut kenyataan PDRM pada Rabu (23 Disember), kes tersebut disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis turut memaklumkan, kertas siasatan bagi kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor untuk nasihat dan arahan lanjut.
PDRM menegaskan komitmen mereka dalam menjalankan siasatan secara telus dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga pasukan yang didapati melanggar undang-undang atau prosedur operasi standard yang ditetapkan.