fb fb fb fb fb

Ops Khas HRAA 2024: JPJ Perak keluarkan 11,419 notis saman

Operasi yang dilaksana mulai 10 Jun itu akan diteruskan sehingga 30 Jun ini.

IPOH, 28 Jun- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak merekodkan 11,419 notis saman atas pelbagai kesalahan trafik, sepanjang tempoh Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, saman dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 59,091 kenderaan, dari tempoh 10 Jun sehingga Rabu lalu.

Jelasnya, kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) paling banyak dikesan iaitu 3,117 kes.

"Bukan untuk mengambil tindakan semata-mata, kita mahu memastikan jalan raya kita selamat digunakan pengguna jalan raya dan mengikut peraturan.

"Mereka yang ditangkap ini adalah mereka yang tidak mematuhi peraturan.. jadi persepsi yang kami nyatakan di sini, tolong ikut peraturan dan jangan lakukan kesalahan," katanya kepada pemberita ketika pelaksanaan Ops Khas HRAA 2024 di sini.

Tambah Mohammad Yusoff, pihaknya turut mengesan sebanyak 2,739 kes kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Selain itu, sebanyak 378 kenderaan disita untuk tindakan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, operasi yang dilaksana mulai 10 Jun itu akan diteruskan sehingga 30 Jun ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM