BESUT, 21 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup KPDN Terengganu berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak petrol bersubsidi menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam satu serbuan di Kuala Besut, di sini.
Serbuan dilakukan enam anggota penguat kuasa KPDN cawangan Besut bedasarkan risikan yang dilakukan.
Pengarah KPDN Terengganu Saharudin Mohd Kia berkata modus operandi sindiket adalah membeli minyak petrol bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kuala Besut dengan menggunakan tong jerrycan.
Minyak petrol itu kemudiannya akan dibawa dan dikumpulkan di lokasi kejadian sebelum dijual semula kepada pembeli di pulau berhampiran.
Pemeriksaan lanjut di lokasi berjaya menemukan 46 tong jerrycan dengan kuantiti keseluruhan berjumlah lebih 1,380 liter.
Dua lelaki warga tempatan berumur 29 dan 31 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut beliau lagi pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.
Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.