KUALA TERENGGANU, 7 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan lebih 600 saman menerusi Op Gempur sejak dimulakan 25 Disember 2024.
Sehingga semalam, sebanyak 3,766 buah kenderaan berat diperiksa.
Hasil pemeriksaan dalam tempoh tersebut juga menunjukkan sebahagian besar saman adalah membabitkan kenderaan perdagangan iaitu 612 buah, berbanding hanya satu saman sahaja terhadap kenderaan perkhidmatan awam.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata, operasi khas dijalankan sehingga 31 Januari itu memberi fokus kepada pengesanan dan penilaian pematuhan syarat-syarat keselamatan terhadap kenderaan perdagangan.
"Antara kesalahan yang kita temui sepanjang operasi dijalankan melibatkan penggunaan tayar yang tidak dijaga dengan baik atau haus.
"Seterusnya melibatkan pengubahsuaian kenderaan tanpa mendapat kebenaran, penggunaan reflektor terhadap kenderaan perdagangan ini, serta lain-lain isu melibatkan cermin gelap.
"Kita mengharapkan semua kenderaan perdagangan mematuhi keperluan teknikal untuk memastikan ianya selamat digunakan di atas jalan raya dan lain-lain konteks itu kita akan menjalankan pengawasan yang lebih tegas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada operasi tersebut di Plaza Tol Gemuruh Kuala Terengganu.
Operasi khas dilaksanakan itu juga adalah antara usaha JPJ bagi meminimumkan punca kadar kemalangan dan kematian di jalan raya membabitkan kenderaan berat.-AFP