fb fb fb fb fb

Minta rasuah, sarjan polis diarah bela diri

Tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof (kiri) tiba di mahkamah

KOTA BHARU, 1 Julai- Seorang anggota polis berpangkat sarjan diarah membela diri selepas didakwa menerima rasuah lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini. 

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Dazuki Ali selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 dan 30 Oktober depan sebagai tarikh untuk tertuduh membela diri.

Media sebelum ini melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lembah Semerak, dekat Pasir Puteh, pukul 1 tengah hari pada 1 April 2019.

Kes didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Pertuduhan kedua, anggota polis itu didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki yang sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh, lebih kurang 6.50 petang, pada 1 April 2021.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE