fb fb fb fb fb

Miliki dadah, Pensyarah antara tiga penjawat awam ditahan

Seorang pensyarah di sebuah universiti di Kelantan antara tiga penjawat awam yang ditahan menerusi Op Tapis Bersepadu dan Op Bersepadu Sempadan di negeri itu pada 26 Mei hingga 8 Jun lepas

KOTA BAHRU, 11 Jun - Seorang pensyarah di sebuah universiti di Kelantan antara tiga penjawat awam yang ditahan menerusi Op Tapis Bersepadu dan Op Bersepadu Sempadan di negeri itu pada 26 Mei hingga 8 Jun lepas.
 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pensyarah berusia 38 tahun itu ditahan bersama empat rakannya dalam sebuah pacuan empat roda ketika sekatan jalan raya dilakukan di Batu 6, Batu Melintang, Jeli pada pukul 10.30 malam, 2 Jun lepas.

"Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati tiga suspek positif dadah jenis Benzo dan seorang suspek negatif dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Tambah Muhamad Zaki, dua lagi penjawat awam yang ditahan ialah pembantu awam berusia 27 tahun di Kota Bharu dan pemandu kenderaan di sebuah agensi kerajaan berusia 35 tahun di Gua Musang, masing-masing pada 4 dan 7 Jun.

Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN