GEORGE TOWN, 1 November - Mayat seorang lelaki dalam keadaan reput ditemui terbaring di kawasan semak berhampiran Taman Ghee Hiang, Lebuh Gelugor, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, mayat berkenaan ditemui orang awam kira-kira pukul 7.20 malam sebelum dilaporkan kepada pihak polis.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati dipercayai lelaki tempatan berusia 45 tahun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai di dalam pakaiannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Siasatan Forensik dan Unit Pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan mencurigakan.
"Berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan, punca kematian belum dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang sudah reput.
"Pemeriksaan turut mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah ditemukan pada tubuh mangsa," katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.