fb fb fb fb fb

Maritim Kedah dan Perlis gagalkan cubaan seludup masuk daun ganja segar

FOTO MARITIM MALAYSIA

LANGKAWI, 16 November- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis berjaya merampas tiga kilogram daun ganja segar bernilai lebih RM9,000 yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

Rampasan dilakukan pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Tanjung Kemarung, Langkawi sekitar pukul 10.00 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, rampasan kali ini dibuat berikutan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi telah mengesan sebuah bot fiber sedang bergerak masuk ke perairan Langkawi dari sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, sehubungan itu Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah menyampaikan maklumat kepada bot peronda yang sedang melaksanakan operasi Op Aman dan Op Tiris 2.0 ke lokasi berkenaan bagi memintas dan menyerbu bot terbabit.

"Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek yang disyaki membawa daun ganja tersebut bertindak membuang tiga bungkusan plastik ke laut dan menukar haluan dengan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik yang dibuang telah menemukan daun ganja segar dengan anggaran berat tiga kilogram bernilai lebih RM9,000 dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran ke Malaysia untuk diproses dan dijual kepada rakyat tempatan,"katanya.

Jelas Romli, semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, susulan itu, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah merangka pelan tindakan bagi menangani kegiatan ini daripada berleluasa. Aset-aset Maritim Malaysia telah diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa, meningkatkan intipan, rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan hot spot dan melaksanakan operasi-operasi khas bersama Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim.

Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan dadah dan daun ketum. Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE