fb fb fb fb fb

Permohonan larangan bersuara kes dokumen tambahan Datuk Seri Najib didengar 19 September

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 September depan untuk mendengar permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menghalang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan permohonan semakan difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perintah itu berhubung kewujudan dokumen tambahan yang didakwa boleh membolehkan bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching turut menetapkan tarikh sama (19 September) untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib bagi meminda semakan kehakiman bagi memasukkan bukti tambahan dalam permohonan tersebut.

"Pihak-pihak terlibat perlu memfailkan hujahan bagi permohonan pindaan pada atau sebelum 5 September ini," kata hakim itu pada prosiding pengurusan kes dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib.

AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara itu pada 20 Januari lepas, atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif.

Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit selepas menolak permohonan Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan tersebut.

Mahkamah Persekutuan turut membenarkan bukti tambahan berkaitan afidavit anak Datuk Seri Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar berhubung surat dari Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari tahun ini dimasukkan bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan itu.

Pada 6 Januari lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Datuk Seri Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.

Datuk Seri Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Datuk Seri Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Datuk Seri Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Datuk Seri Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Datuk Seri Najib.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI