fb fb fb fb fb

Lima warga Indonesia ditahan, disyaki ahli sindiket penyeludupan PATI

Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus

JOHOR BAHRU, 1 Julai- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lima lelaki warga Indonesia, disyaki ahli sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah Mersing, Johor, pada pukul 2.20 pagi tadi. 

Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kesemua mereka, berusia 21 hingga 49 tahun, ditahan hasil operasi OP Sapu di kawasan ladang kelapa sawit, daerah berkenaan yang dipercayai dijadikan rumah transit.

"Modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup masuk PATI ke negara ini melalui laluan haram di perairan Johor. Bayaran yang dikenakan oleh sindiket ini adalah sebanyak RM3000 untuk setiap individu dan RM100 dikenakan untuk penghantaran ke rumah transit tersebut sebelum dihantar ke lokasi-lokasi lain," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, pihaknya turut berjaya membongkar sindiket pemalsuan kad pelarian etnik Arakan dengan perakuan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) pada 26 Jun lalu. Ia merupakan pertama kali dikesan di Johor. 

Kegiatan tersebut dikesan hasil penahanan lima agen dan tiga mangsa sindiket warga Myanmar, menerusi operasi OPS Serkap, di sebuah premis di Mersing.

"Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang terdiri daripada Etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk bekerja namun mempunyai masalah dokumen perjalanan. Caj bayaran dikenakan sekitar RM120 bagi satu permohonan Kad Arakan. Hasil siasatan awal, sindiket ini dipercayai telah aktif sejak lima hingga enam tahun lalu," katanya lagi.

Dua pasport Myanmar, berserta 12 keping kad pelarian, borang pendaftaran UNHCR, dan sebuah telefon pintar serta wang tunai RM15,855 ringgit, dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55 E Akta Imigresen 1959, serta Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI