fb fb fb fb fb

Lelaki dicekup bersama syabu bernilai RM96,000

FOTO IPD BATU PAHAT

BATU PAHAT, 6 Januari- Seorang lelaki ditahan bersama 3.08 kilogram dadah jenis syabu, bernilai RM96,000, di sebuah rumah di Jalan Simpang Lima, Batu Pahat, 2 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek berusia 24 tahun itu juga positif methamphetamine.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk dadah ke negara ini, sebagai lokasi transit, sebelum dibawa untuk pasaran di negara jiran di bahagian selatan.

Sindiket dipercayai aktif beroperasi sekitar Disember, tahun lalu.

"Dalam serbuan itu, tiga bungkusan dadah jenis syabu, masing-masing seberat 1.01 kilogram, 1.03 kilogram dan 1.04 kilogram, serta sebuah motosikal bernilai tiga ribu ringgit turut dirampas dan disita," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE