KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Seramai 1,303 individu disyaki terlibat kes penipuan dalam talian berjaya ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerusi Operasi Mule National Scam Respon Centre (Op Mule NSRC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, 778 kertas siasatan telah dibuka di seluruh negara melibatkan 2,062 suspek.
"JSJK telah berjaya menahan seramai 1,303 individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan dalam talian. Jumlah tangkapan keseluruhan ini melibatkan 778 kertas siasatan yang dibuka di seluruh negara, daripada jumlah ini sebanyak 270 kertas siasatan bersamaan dengan 35 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah", ujarnya.
Mereka yang ditahan akan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 424A, 424B, 424C Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berasingan, 790 individu pemilik akaun keldai penipuan e-dagang serta 30 individu terlibat penipuan pusat panggilan ditahan dalam Op Merpati Khas 01/2025 yang dijalankan JSJK pada 2 hingga 12 September lalu.
Mereka yang ditahan termasuk 4 warganegara asing akan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh didenda.
Menurut Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sepanjang Januari hingga Mei lalu statistik jenayah penipuan e-dagang telah menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM54 juta.
"660 kertas siasatan dibuka di seluruh negara hasil tangkapan menerusi operasi ini, dengan anggaran kerugian berjumlah hampir RM 11 juta. Seramai 790 individu telah ditangkap melibatkan 475 lelaki dan 315 wanita. 275 individu telah diuduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan". katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk terus menggunakan portal Semak Mule di semakmule.rmp.gov.my atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan yang mencurigakan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.