fb fb fb fb fb

Larian antarabangsa: Dua suspek warga emas berkelakuan tidak senonoh didakwa hari ini

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar / BERNAMA

KOTA TINGGI, 7 Oktober- Dua suspek warga asing yang ditahan Sabtu lalu kerana berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata kedua-dua lelaki warga emas berusia 66 dan 70 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan.

"Kita telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes penganjuran program Larian Pan Asia 2024 yang menyentuh sensitiviti agama dengan segelintir peserta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam di kawasan Desaru, Bandar Penawar di sini baru-baru ini.

"Susulan itu, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan negeri semalam dan kita menerima arahan untuk pertuduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, polis menahan menahan tiga lelaki berusia antara 39 tahun hingga 70 tahun di sebuah hotel di Desaru selepas dipercayai berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Bagaimanapun seorang lelaki sudah dibebaskan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam kelmarin.

Polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit.

Ia termasuk sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak.

ZEHRA BINTI ZAMBRI