fb fb fb fb fb

Langkawi lokasi popular PATI Rohingya masuk secara haram

Hampir 2,300 PATI Rohingya ditahan sejak 2010

LANGKAWI, 12 November - Hampir 2,300 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di sekitar perairan Langkawi sejak 2010, menjadikan pulau itu antara lokasi pendaratan paling popular kumpulan migran di kepulauan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan mendapati kedudukan strategik Langkawi berhampiran perairan antarabangsa menjadi faktor utama ia sering dijadikan laluan masuk ke Malaysia.

“Kedudukan Langkawi yang dekat dengan laluan antarabangsa menjadikannya destinasi pilihan pelarian dan PATI untuk mendarat atau masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan meninjau mangsa tragedi bot karam di perairan Malaysia–Thailand, di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, hari ini.

Menurut Saifuddin, hasil keterangan awal menunjukkan kebanyakan kumpulan PATI datang menggunakan kapal induk (mothership) dengan bayaran tertentu sebelum menaiki bot kecil ke pesisir pantai Malaysia.

“Mereka datang dengan mothership melibatkan sejumlah pembayaran, dan itu konsisten dalam kalangan semua yang kita dah ambil keterangan awal.
Malaysia adalah destinasi terakhir mereka, dan mereka sanggup mengharungi pelayaran yang sangat berbahaya terutama ketika monsun timur laut,” katanya.

Sabtu lalu, sebuah bot yang membawa 70 migran dari Myanmar dan Bangladesh dilaporkan karam di perairan Langkawi.

Setakat ini, 22 mangsa ditemukan maut, manakala 14 orang berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN