ALOR SETAR, 8 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 108 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai lebih RM10,000.
Sitaan tersebut hasil operasi di dua buah kilang memproses ayam di Kepala Batas, Jitra dan sebuah kedai runcit di Pantai Johor, Alor Setar.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh, hasil operasi Kita Gempur Zon Utara, dua kilang memproses ayam didapati menyimpan tong LPG bersubsidi untuk menjalankan perniagaan di premis berkenaan.
"Ketika pemeriksaan di kedua-dua kilang itu, pihaknya telah bertemu dengan penyelia kilang berusia 40-an dan mendapati sebanyak 79 tong LPG bersubsidi digunakan. Pihaknya turut menyita 29 tong LPG di sebuah kedai runcit di Pantai Johor," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai program turun padang dan menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memantau sendiri aktiviti yang dijalankan di dua kilang memproses ayam dan tiga premis runcit di sekitar daerah Kota Setar.
Kesemua kes berkenaan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Inisiatif Kita Gempur merupakan langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.