KUALA LUMPUR, 17 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM4.5 juta.
Pengarah KPDN KL, Mohd Sabri Seman berkata, rampasan itu melibatkan pemeriksaan di 35, 566 premis bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini termasuk barangan tiruan dan gas petroleum cecair (LPG).
Katanya, bagi nilai kompaun untuk tempoh itu adalah sebanyak RM704, 400.00 manakala nilai denda pula RM179, 928.00
"Rampasan ini sekali gus menunjukkan komponen terbesar dalam jumlah nilai tindakan, menggariskan impak ketara operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti haram dan tidak beretika dalam pasaran.
"Keberkesanan operasi penguatkuasaan ini mencerminkan komitmen KPDN WPKL dalam memastikan pematuhan perundangan perdagangan domestik serta melindungi kepentingan pengguna dan industri yang jujur," katanya ketika ditemui di Majlis Apresiasi Program Pasar Patuh (3P) di sini hari ini.
Dalam pada itu, KPDN KL turut menyelesaikan 8,178 aduan hasil daripada 8, 424 aduan dalam tempoh tersebut.
"Aduan berkaitan perkhidmatan dalam talian merupakan aduan yang paling tinggi diterima oleh KPDN WPKL iaitu sebanyak 32.8 peratus bersamaan (2,760) dari jumlah keseluruhan aduan.
"Ini menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan setiap isu dan aduan yang dibangkitkan oleh pengguna ditangani dengan cekap dan pantas," katanya.
Tambah beliau, jumlah pemeriksaan yang tinggi ini membuktikan usaha berterusan KPDN untuk memastikan semua peniaga dan premis perniagaan mematuhi Akta-Akta di bawah bidang kuasa KPDN, terutamanya yang berkaitan dengan harga, timbangan, dan barang kawalan.