BUKIT KAYU HITAM, 8 Januari-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 7,400 liter minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM17,000 dalam serbuan di premis pemborong barang kawalan bagi minyak petrol dan diesel di Bukit Kayu Hitam, pada Selasa.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin dalam satu kenyataan berkata serbuan dilakukan tujuh anggota penguat kuasa kira-kira pukul 12.00 tengah hari selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Beliau berkata seorang lelaki berumur 20-an dipercayai pekerja premis ditahan sebelum dilepaskan setelah keterangannya diambil.
"Pemeriksaan awal mendapati lesen borong barang kawalan bagi premis ini telah tamat tempoh pada 2 Oktber 2024 dan pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam premis terbabit bersama rekod transaksi jual beli barang kawalan setelah lesen tamat tempoh.
"Pasukan serbuan kemudian bertindak menyita sejumlah 7,400 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM17,612 berserta dokumen dan rekod jualan barang kawalan itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Beliau turut mengingatkan kepada pihak berkaitan untuk mendapatkan lesen atau permit yang sah bagi tujuan berurus niaga atau menyimpan barang kawalan.