fb fb fb fb fb

Kilang minyak pelincir tiruan diserbu, rampasan cecah RM1 juta

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 November - Enam premis kilang di Kampung Baru Ampang diserbu kerana disyaki memproses, membekal dan memasarkan minyak pelincir kenderaan tiruan pelbagai jenama, pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan yang dijalankan pada pukul 10.00 pagi dilakukan oleh pihaknya bersama bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan wakil cap dagangan.

Menurut beliau, enam premis berkenaan yang terletak berdekatan antara satu sama lain mempunyai peranan masing-masing antaranya membuat botol minyak pelincir, mengilang dan memasukkan minyak pelincir ke dalam botol, stor penyimpanan dan pejabat urusan.

"Seramai 42 individu berusia lingkungan 45 tahun melibatkan 14 warga tempatan dan 28 warga asing berjaya ditahan dan barangan antaranya melibatkan mesin memproses dan membungkus minyak serta minyak pelincir yang berjumlah sekitar RM1 juta," katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, serbuan berkenaan dijalankan hasil risikan selama dua bulan ke atas premis terlibat.

Mohd Zuhairi berkata premis berkenaan disyaki menggunakan minyak pelincir terpakai yang disuling semula sebelum dicampur dengan minyak pelincir asas dan pewarna tiruan sebelum dibungkus untuk dipasarkan.

"Premis ini disyaki memasarkan minyak pelincir ini untuk pasaran tempatan," katanya.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

ROSLINA BINTI DIN