KOTA BHARU, 14 Oktober - Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung insiden pengibaran bendera negara haram Israel semasa program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” kepada pihak pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya turut memanggil penganjur program terbabit semalam bagi siasatan lanjut dan individu terlibat dijangka didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.
“Kes ini disiasat mengikut tiga peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Insiden berkenaan berlaku Jumaat lalu apabila sebuah bot yang mengibarkan beberapa bendera Israel digunakan dalam satu lakonan semula insiden penahanan bot bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang dalam pelayaran ke Gaza.
Program berkenaan dianjurkan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia, dan disertai hampir 10,000 peserta yang menaiki bot masing-masing dan berarak dari Kampung Pulau Pisang ke Lembah Sireh, sejauh kira-kira lapan kilometer sebagai simbol solidariti terhadap rakyat Palestin. - BERNAMA