fb fb fb fb fb

Kes jenayah dalam talian meningkat 23 peratus

FOTO HIASAN/FOTO RTM

BACHOK, 15 November- Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, PDRM merekodkan 19,224 kes jenayah dalam talian sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.

Angka itu menunjukkan peningkatan 23 peratus berbanding 15,659 kes yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata nilai kerugian kes jenayah bagi tahun ini juga meningkat kepada RM687 juta atau 29 peratus berbanding pada 2022.

Tambah Nie Ching, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 pula merekodkan 4,898 insiden keselamatan siber dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, penipuan dalam talian terus berada di tangga teratas dengan jumlah insiden sebanyak 3,087.

"Insiden penipuan dalam talian dan ancaman Scam perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

"Ini kerana negara telah mengalami kerugian jutaan ringgit, tekanan emosi serta masalah kemurungan yang membawa kepada penurunan kualiti kehidupan, produktiviti dan sosial mangsa terlibat", katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini.

Turut hadir, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra berkenan merasmikan majlis.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD