fb fb fb fb fb

Kereta jadi stor dadah, 6 lelaki ditahan

Supritendan V. Saravanan (tengah) menunjukkan bahan bukti rampasan dadah pelbagai jenis pada sidang media hari ini/FOTO RTM

GEORGE TOWN, 17 November - Tindakan sindiket dadah menjadikan kereta sebagai stor penyimpanan dadah di sekitar Jelutong dan Gelugor di sini berjaya dilumpuhkan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah.

Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita yang dipercayai bergiat aktif terlibat dengan kegiatan itu sejak awal bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan berkata, kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 42 tahun itu ditahan membabitkan tiga serbuan di sekitar Jelutong dan Gelugor pada 11.20 pagi hingga 3.45 petang.

Hasil serbuan di dalam kediaman itu pihaknya menjumpai dua paket dadah jenis heroin seberat 4.4 kilogram, satu paket syabu seberat 25.62 gram serta empat biji pil Eramin 5.

"Susulan itu, kita lakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta di tepi jalan Persiaran Bukit Gambir 1, Gelugor yang membawa kepada penemuan sembilan paket heroin seberat 4.1 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Turut disita empat buah kenderaan, pelbagai jenis barang kemas dan sejumlah wang tunai RM6,050.

Semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka direman tujuh hari sehingga 21 November ini.

"Keseluruhan jumlah rampasan dadah dan sitaan bernilai RM135,021 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN