fb fb fb fb fb

KDN kenakan Perintah Larangan bawah Akta 301 terhadap 6 penerbitan

Penerbitan-penerbitan yang dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] terhadap enam tajuk penerbitan; berkuat kuasa 19 Disember tahun lalu.

Enam penerbitan tersebut termasuklah “A Million Kisses In Your Lifetime” oleh Monica Murphy; “Lose You To Find Me” oleh Erik J. Brown; “Punai” oleh Asyraf Bakti; “Scattered Showers” oleh Rainbow Rowell; “When Everything Feels Like The Movie” oleh Raziel Reid dan “What If It’s Us” oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.

Menerusi satu kenyataan, KDN memaklumkan Perintah Larangan itu berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan berlaku.

Sekali gus, mengekang masyarakat mendapat pendedahan daripada hasil penerbitan tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan berkenaan adalah selaras peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan DILARANG secara mutlak di Malaysia.

"Mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya," menurut kenyatan tersebut.

Kenyataan itu juga memaklumkan KDN selaku kementerian bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam akan mengambil tindakan untuk mengawal dan menguatkuasakan peraturan terhadap mesin cetak dan penerbitan dalam negara.

"Tindakan ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilainilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk.

"Komitmen berterusan akan dilaksana termasuklah tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan; selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama," jelas kenyataan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE