fb fb fb fb fb

Kastam Sabah tumpas sindiket dadah bernilai RM2.89 juta

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) zon Sabah gempur penyeludupan dadah dan chewing tobacco

KOTA KINABALU, 7 Januari - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 98.33 kilogram dadah jenis methamphetamine dan ganja bernilai RM2.89 juta di kargo syarikat penerbangan di negeri ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Siti Mang berkata rampasan itu melibatkan tiga serbuan berasingan yang dilakukan Cawangan Narkotik JKDM Zon Sabah.

Katanya, operasi pada 28 November hingga 20 Disember lalu, sebanyak 28 bungkusan dadah dirampas di Pos Aviation Kota Kinabalu dalam tiga serbuan berasingan.

"Bungkusan terbabit dipercayai mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 17.15 kilogram dianggarkan bernilai RM250,038.30.

"Apabila diperiksa terdapat hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 60.977 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.95 juta," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Tambah beliau, dalam operasi kedua pada 9 Disember lalu, Cawangan Narkotik sekali lagi merampas dua bungkusan di lokasi sama.

"Hasil pemeriksaan terdapat plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 20.201 kilogram dianggarkan bernilai RM696,114," katanya.

"Modus operandi semua kes berkenaan melibatkan penghantaran dadah melalui parcel dengan jumlah dan kaedah yang tidak mencurigakan sama ada melalui saluran logistik yang sah atau Pos Aviation untuk mengelakkan pengesanan pihak berkuasa," katanya.

Sementara dalam kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, sebanyak 50 kotak tembakau kunyah dirampas dianggarkan bernilai RM38,500 dan melibatkan cukai sebanyak RM156,310 pada 2 Januari lalu.

"Pengimport telah gagal mengemukakan permit import yang sah berkaitan barangan terbabit. Barangan itu ialah barang larangan dan pengimportannya hanya dibenarkan dengan syarat memiliki permit import," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN