KOTA BHARU, 12 November – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup beras dari negara jiran selepas merampas sebanyak 80.5 tan beras seludup dalam dua serbuan berasingan di Jeli dan Kuala Krai, masing-masing pada September dan Oktober lalu.
- Rampasan pertama 41 tan beras ditemui di Kampung Bendang, Jeli pada 8 September.
- Rampasan kedua 39.5 tan beras ditemukan di Kampung Lata Rek, Kuala Krai.
- Dua lori mencurigakan ditahan dan seorang pemandu lori ditahan untuk siasatan.
- Nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM684,000.
- Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; JKDM akan perketat kawalan sempadan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan pertama dilakukan di Kampung Bendang, Jeli pada 8 September, melibatkan 41 tan beras, manakala operasi kedua di Kampung Lata Rek, Kuala Krai menemukan lagi 39.5 tan beras.
“Dalam kedua-dua operasi, pasukan kita menahan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan dan turut menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan. Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM684,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati modul operasi suspek ialah menggunakan lori dan kenderaan penumpang bagi mengangkut beras berkenaan dari pangkalan haram di sempadan negeri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kebenaran yang sah.
“JKDM akan terus memperketat kawalan di sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi negara,” tegas Wan Jamal.