BESUT, 17 Jun- Seorang kanak-kanak ditemukan lemas di dalam tali air sawah padi berhampiran rumah neneknya di Kampung Bukit Kenak, Tok Kundur Besut semalam.
Mangsa, Intan Inara Mohammad Hariz Husaini tiga tahun kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.00 petang.
"Mangsa dipercayai keluar melalui pintu belakang rumah neneknya dan bermain seorang diri tanpa disedari ahli keluarga.
Intan Inara dijumpai terapung oleh bapa saudaranya di dalam tali air di sawah padi kira-kira 300 meter dari rumah nenek mangsa pada pukul 6.10 petang.
Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 8.53 malam tadi." jelas Azamuddin.
Bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih berwaspada memantau keselamatan anak-anak untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.