ALOR SETAR, 8 Januari- Operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kedah di Kilometer 3, Jalan Langgar-Pokok Sena berjaya menahan seorang pemandu yang melanggar lima kesalahan undang-undang jalan raya dalam satu perjalanan.
Dalam operasi tersebut, pemandu terbabit dikesan tidak memiliki lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen vokasional (GDL).
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata lebih membimbangkan, muatan yang dibawa disusun secara merbahaya.
Manakala keadaan teknikal kenderaan turut tidak mematuhi spesifikasi dengan penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi serta tiada mudflap.
Kesemua kesalahan tersebut tidak terlepas daripada tindakan dan saman serta merta telah dikeluarkan terhadap pemandu terbabit.
Tegas beliau, kesalahan tersebut boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain dan penguatkuasaan akan terus diperketatkan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berlainan, dua pemandu warga asing (PeWA) ditahan secara berasingan atas pelbagai kesalahan.
Dalam operasi pertama, seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar yang menunggang sebuah motorsikal ditahan di KM 2, Jalan Sungai Tiang.
Hasil pemeriksaan berjaya mengesan tiga kesalahan utama iaitu tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada insurans bagi motosikal yang digunakan.
Sementara dalam satu lagi operasi, seorang PeWA dari India yang memandu sebuah lori ditahan di KM 2, Lebuhraya Darul Aman.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu itu memandu kenderaan dengan pelbagai pelanggaran undang-undang, termasuk ketiadaan lesen memandu sah, LKM tamat tempoh, dan tiada perlindungan insurans.
Kenderaan tersebut telah disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.