fb fb fb fb fb

JAWI siasat dakwaan perkahwinan tidak berdaftar ahli GISBH

FOTO FACEBOOK Dato' Setia Dr. Naim

KUALA LUMPUR, 17 September- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan perkahwinan dalam kalangan ahli Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) tidak didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam mana-mana negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata tindakan akan diambil segera sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.

"Jika perkahwinan tersebut bertentangan dengan undang-undang yang dinyatakan, Bahagian Penguatkuasaan JAWI akan menyiasat, dan tindakan sewajarnya akan diambil," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengenai kes penderaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan ahli GISBH, beliau menegaskan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam siasatan tersebut.

"Saya secara peribadi berhubung hampir setiap hari dengan Tan Sri Razarudin Husain (Ketua Polis Negara) untuk mengikuti perkembangan GISBH. Kita juga akan melihat aspek akidah, sementara kes jenayah keselamatan adalah di bawah tanggungjawab PDRM. Kami akan terus bekerjasama erat dalam perkara ini," tambah beliau.

Mohd Na'im juga memaklumkan bahawa jawatankuasa khas yang dibentuk di bawah kementeriannya akan memanggil bekas pengikut kumpulan GISBH dalam masa terdekat.

Hasil siasatan tersebut akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Oktober nanti.

Beliau berharap jawatankuasa khas tersebut akan dapat menyelesaikan isu berkaitan GISBH dan memuktamadkan kajian yang dijalankan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA