fb fb fb fb fb

Isu GISBH : Polis sahkan wujud elemen pengantunan kanak-kanak

Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media khas di PULAPOL KL hari ini / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 17 September- Polis mengesahkan wujud elemen pengantunan kanak-kanak, jenayah fizikal dan penderaan emosi berlaku terhadap mangsa yang diselamatkan dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, ia hasil saringan terhadap 392 mangsa yang diselamatkan.

"Sehingga 16 September 2024, proses saringan kesihatan dijalankan KKM terhadap 392 mangsa yang terdiri daripada 202 kanak-kanak lelaki dan 190 kanak-kanak perempuan telah pun selesai.

"Hasil saringan tersebut memang terdapat ada elemen daripada sudut jenayah fizikal dan emosi telah berlaku yang memerlukan penilaian lanjut.

"Elemen-elemen jenayah yang kita kesan, adalah penderaan fizikal, emosi, seperti mana tular ada yang dipukul dan satu lagi pengantunan (child grooming) selain buruh kanak-kanak kemudian didapati ada unsur-unsur pengabaian berlaku dan yang akhirnya kekurangan zat pada kanak-kanak tersebut,"katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Jelas Razarudin, sejumlah 149 mangsa berusia antara satu hingga 10 tahun telah pun diberi perintah jagaan sementara yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kesemua mereka juga telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan yang tidak didedahkan.

Manakala, baki 243 lagi kanak-kanak masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.

Sementara itu, Razarudin menegaskan siasatan dijalankan secara telus dan sangat adil supaya tidak timbul isu penganiayaan ke atas suspek.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE