fb fb fb fb fb

Inspektor Shiela didakwa lagi atas tuduhan sebabkan kegusaran awam

Sheila Sharon Steven Kumar / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 November - ‘Inspektor Sheila' didakwa lagi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan menyebabkan kegusaran awam dengan memarahi, menjerit dan membunyikan hon kereta terhadap seorang wanita di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah, Jun lepas.

Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta, sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini, pada pukul 5.26 petang, 16 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM400 jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, M Manoharan yang mewakili Sheila memohon supaya anak guamnya dikenakan bon jaminan dengan alasan wanita itu akan hadir ke mahkamah pada setiap tarikh prosiding kes yang ditetapkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN