KUALA LUMPUR, 7 Januari - Bekas pramugara dan dua rakannya dihukum penjara seumur hidup dan 18 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 707.05 gram dan menanam pokok ganja, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Karthik, 40, dan dua rakannya, iaitu bekas pengurus kilang C. Praveen, 35, dan bekas jurujual Muhammad Afiq Mohd Ali, 26, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga tertuduh pada akhir kes pembelaan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan pertama dan hukuman penjara seumur hidup serta enam sebatan bagi pertuduhan kedua.
"Hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Dis 2021,” kata hakim itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman manakala ketiga-tiga tertuduh masing-masing diwakili peguam M. Mathavan, M. Manoharan dan Mohd Yusoff Awang Lah.
Sebanyak 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan, iaitu ketiga-tiga tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes terbabit yang bermula pada Sept 2023.
Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 707.05 gram di sebuah unit kondominium di Jalan Pantai Murni 7, Pantai Sentral di Brickfields di sini pada 10 pagi, 14 Dis 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Mereka didakwa bersama-sama menanam tumbuhan jenis kanabis daripada ganja di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam sebatan. - BERNAMA