BALIK PULAU, 4 Disember- Dua warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan mencuri wang milik dua penumpang pesawat berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Tertuduh, He Dapeng dan Xin Min membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Chia Huey Ting selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Mandarin di mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, He Dapeng didakwa telah mencuri wang tunai RM2,000 milik seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun antara jam 8.20 hingga 8.40 pagi di LTAPP pada 21 November lalu.
Xin Min pula didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200 dan 24,000 mata wang Taiwan milik lelaki tempatan berusia 31 tahun di LTAPP antara jam 10.20 hingga 10.30 pagi pada 24 November lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.
Majistret memerintahkan He Dapeng didenda RM2,000 manakala Xin Min RM3,700 dan masing-masing dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.