KUCHING, 15 Jun- Selepas bermaharajalela merompak dan menyamun selama hampir dua tahun di bandar raya Kuching, 'Geng Piji' akhirnya dilumpuhkan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata ia hasil tangkapan kepala penyamun terbabit yang dikenali sebagai Piji pada 23 Mei lalu.
Dedahnya tangkapan suspek berumur 26 tahun itu turut menyumbang kepada penahanan 11 lagi ahlinya yang berumur antara 20 dan 30 tahun.
Suspek pernah ditahan bersama enam ahli kumpulannya termasuk seorang wanita sebelum ini kerana terbabit dalam enam kes pecah rumah dan curi kenderaan.
Ketika diarah hadir untuk prosiding kesnya di mahkamah pada November 2022, namun dia tidak hadir dan terus menghilangkan diri.
"Semasa prosiding bicara, dia ambil kesempatan lari dan merekrut ahli-ahli lain sehinggalah ada 11 orang, mereka buat jenayah sana sini,"katanya.
Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Kuching semalam, beliau turut percaya menerusi hasil tangkapan itu pihaknya telah menyelesaikan sembilan kes jenayah termasuk pecah rumah, curi kenderaan dan curi kabel.
Melihatkan kepada jenayah yang dilakukan suspek utama tersebut, pihaknya akan mencadangkan kepada pihak pendakwa raya untuk menahan suspek di penjara sehingga selesai proses mahkamah.
Suspek sebelum itu turut didakwa terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Long Seng dengan kecurian mencecah RM90,000.
Buat masa ini pihaknya masih lagi memburu saki baki 'Geng Piji'.