fb fb fb fb fb

Dua suspek lelaki dibawa ke mahakamah hadapi tuduhan bunuh

Dua suspek lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Daerah Kubang Pasu, Kedah

KUBANG PASU, 17 Oktober- Dua suspek lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Daerah Kubang Pasu, Kedah pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan membunuh pesara Felcra, Sabari Baharom.

Kenderaan polis membawa kedua-dua suspek tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.15 pagi.

Suspek memakai penutup muka dibawa masuk ke bilik mahkamah dengan kawalan keselamatan yang tinggi.

Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, kedua-dua lelaki itu yang ditahan pada 27 September direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kes khianat bakar kereta.

Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 September dan kereta dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.

Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari, sebelum ditamatkan pada 3 Oktober.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI