KUALA LUMPUR, 17 April - Dua rakaman video sidang media ditayangkan di Mahkamah Tinggi pada Khamis dalam prosiding menghina mahkamah yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding itu berkaitan tindakan Dr Mahathir mengadakan sidang media pada 5 Disember tahun lalu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, sejurus selepas beliau selesai memberi keterangan dalam kes saman fitnahnya terhadap Presiden UMNO itu berhubung isu ‘Kutty’.
Ketika itu, Dr Mahathir turut menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya, isteri serta empat anaknya, selain surat kelahiran asal sebagai bukti nama sebenar mereka kepada media.
Rakaman kedua-dua video berkenaan, yang disiarkan oleh dua portal berita dalam talian, ditayangkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Selepas tayangan video berkenaan, mahkamah menetapkan 14 Mei ini bagi membolehkan peguam Dr Mahathir mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya, memandangkan prosiding permohonan komital merupakan dakwaan yang serius.
Dr Mahathir, 99, turut hadir ke mahkamah hari ini (Rabu) bersama pasukan peguamnya yang diketuai Rafique Rashid.
Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Ahmad Zahid memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu telah selesai memberi keterangan dalam perbicaraan saman berkenaan pada 5 Disember, manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi saksi terakhir pihak plaintif pada 9 Disember tahun sama.
Ahmad Zahid dijangka memberi keterangan sebagai saksi pihak defendan pada 14 Mei ini.
Dr Mahathir memfailkan saman terhadap Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung isu ‘Kutty’.
Saman itu difailkan pada 20 Julai 2022 dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berunsur fitnah dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir percaya individu yang dirujuk dalam kenyataan fitnah tersebut sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepada dirinya.
Kenyataan itu turut disiarkan semula melalui saluran YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian yang boleh diakses tanpa sekatan. - BERNAMA