fb fb fb fb fb

Dua bot pukat kenka ditahan, langgar syarat lesen

Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA KURAU, 12 November - Dua buah bot pukat kenka yang disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan awal hari ini.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua bot berkenaan dikesan kira-kira tujuh batu nautika barat Muara Kuala Kurau sekitar pukul 2.00 hingga 2.10 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel terlibat disyaki menangkap ikan pada waktu yang tidak dibenarkan, tidak diusahakan sendiri oleh pemilik sebenar, selain menggunakan pemberat melebihi had yang ditetapkan.

Ketika tangkapan dibuat, tujuh individu terdiri daripada dua tekong dan lima awak-awak, kesemuanya warganegara Malaysia berada di atas bot berkenaan.

Kedua-dua bot bersama kru telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut dan siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan, khususnya kegiatan yang boleh menjejaskan sumber hasil laut serta menindas nelayan pesisir yang berlesen sah.

Maritim Malaysia juga menyeru orang awam, khususnya komuniti nelayan, supaya menyalurkan sebarang maklumat kegiatan perikanan haram atau pelanggaran undang-undang maritim melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 untuk maklum balas segera.

EZA YUSMAWATI YAACOP