BINTULU, 25 April– Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup ganja seberat 3,260.47 gram yang dianggarkan bernilai RM97,814.10 ke Bintulu, Sarawak.
Rampasan tersebut dilakukan sepasukan anggota Unit Operasi, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu pada 24 Mac, kira-kira pukul 9.05 pagi di Pejabat Pos Bintulu, Jalan Tun Razak.
Menurut JKDM Sarawak, hasil pemeriksaan terhadap sebuah bungkusan mencurigakan membawa kepada penemuan 30 peket ketulan mampat disyaki mengandungi ganja.
"Pemeriksaan lanjut mengesahkan kandungan tersebut adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian I, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Modus operandi sindiket dikesan menggunakan perkhidmatan kurier bagi membawa masuk bahan narkotik dari Pasir Mas, Kelantan ke Bintulu," menurut kenyataan itu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
JKDM Sarawak turut menyeru orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan mencurigakan.
Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi mana-mana pejabat kastam yang berdekatan.
Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.
Usaha itu sekali lagi membuktikan komitmen berterusan JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara, malah mengancam keselamatan rakyat.