fb fb fb fb fb

Cubaan seleweng minyak sawit mentah di Taiping gagal

Foto RTM

TAIPING, 17 Julai – Satu sindiket penyelewengan minyak sawit mentah berjaya dipatahkan dalam Op Taring Palma yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Shamsul Baharin Aman, berkata kegiatan itu terbongkar selepas pasukan operasi mengekori pergerakan dua lori tangki mencurigakan sebelum menahan sebuah lori yang sedang melakukan pemindahan minyak secara haram di tepi Jalan Taiping – Bagan Serai.

Hasil pemeriksaan menemui 10 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu, bersama beberapa peralatan pemindahan minyak sawit.

Kira-kira 75,400 kilogram minyak sawit mentah, bersama tiga kenderaan, iaitu dua lori tangki, satu lori serta tiga telefon bimbit dan pelbagai peralatan lain turut dirampas.

Tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan turut ditahan. 

Manakala dua saman turut dikeluarkan atas kesalahan trafik mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kes disiasat di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan MPOB (Pelesenan) 2005.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD