KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti laporan penuh siasatan awal yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Menurut kenyataan AGC hari ini, laporan berkenaan diterima pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan pada 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
“Proses penelitian ini melibatkan semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan,” menurut kenyataan itu.
Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan diumumkan selepas penelitian laporan siasatan awal selesai.
“Jabatan ini menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam mengelak daripada membuat sebarang kenyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,” tambah kenyataan itu.