fb fb fb fb fb

8 PATI dicekup cuba sembunyi di Perkampungan Orang Asli

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut/Foto JIM Kelantan

GUA MUSANG, 23 Oktober - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan telah menahan lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam serbuan di perkampungan Orang Asli di kawasan tanah tinggi Lojing, kelmarin.

Timbalan Pengarah JIM Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman, berkata mereka yang ditahan terdiri lima lelaki dan dua wanita warga Bangladesh serta seorang lelaki warga Nepal.

"Hasil siasatan mendapati kesemua mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun tidak mempunyai dokumen sah untuk menduduki negara ini.

"Operasi yang bermula pukul 2 pagi itu dilaksanakan hasil risikan dan kerjasama beberapa agensi berkaitan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 28 premis dan 62 warga asing serta tempatan diperiksa.

Dalam operasi itu, seramai 67 pegawai dan anggota itu melakukan serbuan di sekitar perkampungan Orang Asli.

"Pemeriksaan dilakukan sekitar Kampung Brooke Lama, Kampung Sangwai B, Kampung Sangwai C, Kampung Sendrop, dan Kampung Sigar, Gua Musang," katanya.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963

GRACE AISYAH KEDAYAN