fb fb fb fb fb

79 individu ditahan, pusat hiburan beroperasi lebih masa

FOTO FAIL

JOHOR BAHRU, 15 Disember - Polis menahan 79 individu termasuk 11 wanita warga asing di sebuah pusat hiburan yang beroperasi melebihi masa ditetapkan di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata, operasi khas dijalankan kira-kira 2.30 pagi itu melibatkan empat pegawai dan 26 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan.

Hasil saringan awal air kencing mendapati 63 lelaki dan empat wanita tempatan serta 11 wanita warga asing itu positif dadah jenis methamphetamine, tetrahydrocannabinol (THC), ketamine dan benzodiazepines (benzo).

"Kesemua mereka yang ditahan termasuk seorang individu yang menjadi juruwang di pusat hiburan berkenaan, berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan sah, namun telah beroperasi melebihi masa ditetapkan," kata M Kumar dalam satu kenyataan.

Kumar berkata hasil pemeriksaan di dalam premis turut menemukan 2.07 gram dadah jenis ketamin melibatkan tangkapan empat lelaki tempatan dan empat wanita warga asing di dalam dua bilik berasingan.

Kesemua mereka direman dua hingga enam hari hingga esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98; Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63; dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963/63.

TETITIA YUSOFF