SENAI, 26 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 40 warga asing di sini kerana dipercayai bekerja tanpa permit sah dan tinggal lebih masa di Malaysia.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata tangkapan itu dibuat dalam pelbagai operasi iaitu Ops Selera, Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di premis sekitar lokasi panas kira-kira 3.50 petang susulan aduan awam.
"Dalam beberapa operasi ini, seramai 110 warga asing serta tempatan diperiksa sebelum 40 warga asing ditahan.
"Mereka yang ditahan adalah sembilan lelaki dan 10 wanita warga Indonesia, dua lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, enam lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga India dan semuanya berusia antara 19 hingga 57 tahun," katanya.
Menurut Baharuddin, lima notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu terlibat bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Sementara itu, seorang wanita warga Myanmar ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membenarkan PATI berada di dalam premis.