KUALA TERENGGANU, 18 Julai- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dalam serbuan di beberapa tapak pembinaan di daerah ini, semalam.
Timbalan Pengarahnya, Mat Amin Hassan berkata kesemua warga Bangladesh itu ditahan kerana pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, menyalah guna pas dan tiada dokumen perjalanan yang sah.
"Penahanan ini hasil pemeriksaan terhadap sembilan premis disyaki menjadi tempat tinggal warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah.
"Operasi ini dijalankan hasil aduan orang ramai dan risikan JIM Terengganu dalam tempoh tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua tahanan berkenaan telah dihantar ke Depoh Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.