Sunday, 26 June 2022
updated 5:27 PM UTC, Jun 26, 2022

DOS PENGGALAK

  • Dos penggalak heterologous tawar lebih perlindungan, ICR sangkal dakwaan Pharmaniaga

    FOTO AFP

    KUALA LUMPUR, 10 Februari- Dos penggalak heterologous (vaksinasi primer Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer) menawarkan lebih perlindungan terhadap jangkitan berbanding dos penggalak homologous (tiga dos vaksin Sinovac) dalam kalangan penerima Sinovac, menurut Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menyangkal dakwaan Pharmaniaga Berhad berhubung keberkesanan lebih rendah penggalak heterologous dalam kalangan penerima vaksinasi primer Sinovac terhadap Omicron, ICR berkata fakta dan bukti sedia ada telah disalah tafsir.

    “Di peringkat global, terdapat bukti yang konsisten dan baru muncul bahawa vaksinasi penggalak heterologous menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat dan efektif berbanding penggalak homologous bagi penerima primer vaksin tidak aktif (Sinovac).

    “Selari dengan bukti baru muncul dan gelombang Omicron yang sedang berlaku, KKM terus mengesyorkan Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos penggalak pilihan untuk penerima vaksin Sinovac,” menurut ICR dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu menyebut di Malaysia, kajian Program Keberkesanan Dunia Sebenar Vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menggunakan data dari 21 Nov 2021 hingga 7 Jan 2022 bagi membandingkan kadar jangkitan dalam kalangan penerima dos penggalak dan individu yang hanya melengkapkan vaksinasi primer.

    “Analisis itu adalah berdasarkan data sebenar iaitu merangkumi 13 juta penduduk yang telah menerima vaksinasi primer Pfizer dan Sinovac.

    “Selepas mengambil kira perancu, mereka yang baru saja menerima dos penggalak berdepan kemungkinan sekurang-kurangnya 90 peratus untuk tidak dijangkiti COVID-19 berbanding individu yang hanya mengambil dua dos vaksin,” katanya.

    Merujuk kajian yang dijalankan di beberapa negara sebagai contoh, ICR turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai keberkesanan dos penggalak heterologous bagi vaksinasi primer Sinovac.

    “Kajian yang dijalankan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menunjukkan bahawa dua dos Sinovac disusuli dos penggalak Pfizer heterologous berupaya meningkatkan paras antibodi peneutralan terhadap varian Omicron selepas tiga hingga lima minggu menerima dos penggalak.

    “Bagaimanapun, tiga dos Sinovac gagal untuk mengeluarkan antibodi peneutralan yang bertindak balas terhadap Omicron bagi kebanyakan penerima.

    “Dalam satu lagi kajian di Brazil, dos penggalak heterologous (dengan AstraZeneca, Janssen dan Pfizer) menyaksikan tindak balas imun yang lebih baik berbanding dos penggalak homologous dengan dos penggalak Sinovac sekali gus berpotensi memberi perlindungan lebih utuh,” katanya.

    Menurut ICR, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyebut rejim dos penggalak homologous mahupun heterologous secara imunologinya adalah berkesan.

    “Satu pracetak daripada kajian di Chile mendapati keberkesanan vaksin yang diubah suai ke atas jangkitan COVID-19 bergejala adalah 78.8 peratus bagi tiga dos Sinovac, 96.5 peratus bagi dos penggalak Pfizer (menyusuli dua dos Sinovac) dan 93.2 peratus bagi dos penggalak AstraZeneca (menyusuli dua dos Sinovac). - BERNAMA

     

  • Dos penggalak: Warga emas boleh 'walk in' ke PPV mulai Rabu ini

    PUTRAJAYA, 17 Januari - Pelaksanaan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus untuk warga emas bermula Rabu ini yang akan beroperasi setiap hari kecuali cuti umum di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini menyebut empat PPV tersebut ialah PPV World Trade Centre dan PPV Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, serta PPV Ideal Convention Centre di Shah Alam dan PPV Integrasi di Dewan Soka Gakkai, Klang di Selangor.

    Menurut kenyataan itu lagi, kesemua PPV beroperasi bermula 2 petang hingga 8 malam, kecuali PPV Dewan Soka Gokkai yang beroperasi dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

    Sehingga semalam, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas, iaitu individu berumur 60 tahun dan ke atas, di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.

    “Untuk makluman, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir, adalah layak untuk menerima dos penggalak.

    “Warga emas yang ingin hadir secara ‘walk-in’ adalah dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, kenyataan itu menyatakan PPV ‘Offsite’ di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak juga, akan melaksanakan perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus kepada warga emas mulai 24 Januari ini.

    Senarai lengkap PPV ‘Offsite’ yang terlibat akan diumumkan pihak ProtectHealth Corporation.

    Dalam pada itu, KKM dalam kenyataan sama menyatakan buat masa ini, janji temu di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac, untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.

    Bermula Rabu ini juga, vaksin Pfizer akan dibekalkan di PPV tersebut, khusus bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

  • OMICRON: Negara berisiko kini 18, dos penggalak penting tingkat keberkesanan



    PUTRAJAYA, 28 Disember - Berikutan risiko penularan varian Omicron, kerajaan menarik semula sekatan perjalanan sementara ke atas 8 buah negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kesemua lapan negara itu akan dimasukkan dalam senarai negara berisiko tinggi menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini sebanyak 18 buah.

    Tambah Khairy langkah itu dibuat selepas KKM mengesan 306 sampel kes positif COVID-19 menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

    "Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 366 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 21 sehingga 25 Disember 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 telah menunjukkan berkemungkinan(presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS)", jelasnya dalam sidang media di Putrajaya.

    Sebelum ini kerajaan mengumumkan United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada, Nigeria sebagai negara berisiko tinggi varian Omicron.

    Berikutan itu, pihak Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) menyarankan dos penggalak kepada penduduk Malaysia, berikutan keberkesanan vaksin berkurangan selepas tempoh tertentu.

    "Hasil dapatan daripada data kajian klinikal dan kajian Real World termasuk The Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines Under the Malaysia National COVID-19 Immunisation Programme (RECoVaM) yang dijalankan di Malaysia menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 adalah berkurangan dengan masa.

    Data terkini menunjukkan Varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi (higher viral binding affinity) dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi (higher antibody escape) daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi, katanya.

    Selain itu, bukti kukuh yang telah terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan bahawa vaksin penggalak COVID-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

    "Hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak (booster) yang dijalankan di United Kingdom telah menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan," katanya.