KUALA LUMPUR, 21 Julai – Impian penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii untuk bekerjasama dengan figura muzik tersohor, Malique akhirnya tercapai menerusi single terbaharu mereka berjudul Tanya Tuhan.
Menurut Yonnyboii, peluang keemasan itu merupakan pencapaian tertinggi sepanjang kerjayanya kerana Malique merupakan antara idola yang sentiasa dikaguminya sejak sekian lama.
“Saya berasa sangat kerdil dan bangga dapat bekerjasama dengan insan-insan hebat seperti Malique.
"Ini antara impian paling besar dalam hidup saya yang kini jadi realiti. Terima kasih kepada pihak pengurusan yang membantu menjayakannya,” ujar Yonnyboii.
Lebih membanggakan, lirik lagu Tanya Tuhan merupakan hasil kolaborasi antara Yonnyboii dan Malique sendiri, manakala lagu tersebut dicipta bersama penerbit, LastKhalif yang turut menerajui keseluruhan produksi.
“Saya masih sukar percaya. Malique adalah antara nama yang ada dalam senarai impian kerjasama saya sejak dulu. Kini, saya ada lagu bersamanya… ia sesuatu yang sangat luar biasa,” katanya.
Lagu yang bersifat introspektif ini diinspirasikan daripada kisah peribadi Yonnyboii sendiri, ketika berdepan persoalan-persoalan hidup yang sukar dijawab.
Beliau berharap Tanya Tuhan bukan sahaja menyentuh hati pendengar, malah mampu memberi kekuatan kepada sesiapa yang sedang melalui dugaan hidup.
“Saya harap mereka dapat faham dan rasa apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini. Semoga ia mampu memberi semangat dan kekuatan kepada yang mendengarnya,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, muzik video Tanya Tuhan turut mendapat sentuhan sahabat rapat Yonnyboii, Thaqif, yang berjaya menterjemahkan idea-idea visualnya yang unik dan kompleks dengan penuh berkesan.